Etika Kerja Dalam Islam

Pendahuluan

Islam menuntut setiap manusia bekerja, berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Di samping itu Islam juga menyatakan bahawa sesuatu “pekerjaan” yang baik ialah tugas yang diamanahkan kepada seseorang insan. Maka apabila seseorang itu menjalankan tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya bererti, bahawa insan tersebut sedang menunaikan amanah Allah. Menurut Islam, setiap kerja yang diredhai oleh Allah dan disertai dengan niat adalah ibadat. Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap lapangan pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya dimulai dengan niat, ia merupakan satu ibadat.

Di samping itu kita hendaklah juga mengetahui bahawa setiap tugas atau kerja yang diberi oleh Allah kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan orang yang berkenaan seperti yang ternyata di dalam firman Allah SWT:

Maksudnya:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya”.
(Al-Baqarah: 286)

Ayat ini menegaskan bahawa tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Dengan sendirinya ayat ini menekankan bahawa seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Selain dari itu, setiap manusia hendaklah insaf bahawa menurut ajaran Islam setiap kegiatan kita di dunia ini akan diperhitungkan di akhirat nanti sebagaimana ternyata di dalam firman Allah SWT:

Maksudnya :

“Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya”.
(Al-Muddaththir : 38)

Ini bererti sekiranya seseorang itu tidak menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinya ia akan dihukum di akhirat kelak walaupun mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib atau pun hukuman di dunia ini. Sebaliknya berbahagialah seseorang itu di dunia dan di akhirat sekiranya kita melaksanakan tugas dengan sewajarnya menurut tuntutan Islam.

Daripada apa yang telah diutarakan, jelaslah bahawa menurut ajaran Islam, setiap manusia wajib mempunyai kerja. Islam tidak menyukai kepada pengemis dan penganggur. Di samping itu seseorang pekerja mestilah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya kerana Allah telah menegaskan bahawa setiap pekerja itu berupaya dan mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik atau tidak hanyalah bergantung kepada sikap pekerja itu sendiri. Islam telah menggariskan etika kerja dalam Islam antaranya :

1. Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah

2. Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah

3. Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap

4. Bekerja Dengan Semangat Kerjasama Dan Berpadu Fikiran

Etika Kerja Pertama: Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah

Dengan menyedari dan menghayati bahawa manusia adalah hamba Allah, maka sewajarnyalah setiap manusia mengabdikan dirinya kepada Allah, dengan mengikuti segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya selaras dengan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”.
(Al-Baqarah : 21)

Setiap penjawat awam hendaklah menjalankan tugasnya dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya ia tidak menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya maka bererti pekerja tersebut tidak menunaikan amanah kepada Allah. Seseorang pekerja hendaklah menyedari dan menghayati bahawa bekerja untuk mencari nafkah yang dimulai dengan niat itu adalah ibadat.

Setiap penjawat awam harus menyedari bahawa bekerja itu bererti beribadat, maka sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Etika Kerja Kedua: Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah

Bekerja dengan ikhlas bererti bekerja dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa jawatan yang di pegangnya adalah hasil permohonannya sendiri dan bukanlah ia dipaksa memenuhi jawatan tersebut. Maka dengan sendirinya wajarlah seseorang pekerja itu menjalankan tugasnya dengan sepenuh kerelaan dan kesedaran bahawa kerja yang dilaksanakan olehnya itu adalah suatu amal soleh dalam usaha mengabdikan diri kepada Penciptanya di samping berusaha untuk menyara diri dan keluarga yang dikasihi dan berkhidmat kepada masyarakat.

Seterusnya setiap insan mestilah bersyukur kepada Allah kerana rahmat-Nya kepada kita yang tidak terhitung dan satu daripadanya ialah yang kita sandangi ini. Kesyukuran kita seharusnya memuncak lagi sekiranya kita menginsafi bahawa banyak lagi manusia lain yang masih menganggur dan tidak dapat menyara keluarga dengan sewajarnya. Kita juga hendaklah bersyukur kerana dengan jawatan atau kerja kita ini, kita dapat mengikut serta menyumbangkan tenaga di dalam usaha membangunkan negara yang tercinta. Moga-moga tercapailah cita-cita murni untuk membangunkan suatu negara yang direhdai Allah seperti firman-Nya:

Maksudnya:

“……Negara yang makmur serta mendapat keampunan Tuhan”
(Saba`: 15)

Sekiranya seseorang itu dapat menghayati dan mensyukuri segala rahmat Allah, insyaAllah kita akan dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud :

Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia’.
(Riwayat Al-Quda`)

Etika Kerja Ketiga: Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap

Ketekunan adalah suatu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya tekun dalam menjalankan tugas. Rasulullah S.A.W. bersabda dengan maksud:

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”.
(Riwayat Al-Baihaqi)

Apabila hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapan. Mutu kecekapan seseorang itu akan terus meningkat jika pekerja itu sanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya sepanjang masa.

Etika Kerja Keempat: Bekerja Dengan Semangat Kerjasama Dan Berpadu Fikiran

Di dalam perkhidmatan awam bahkan di dalam sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja itu bertugas dalam suatu kumpulan pekerja yang tertentu. Untuk menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang, sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah bekerjasama, bergotong-royong melaksanakan tugas masing-masing. Sikap bantu membantu di antara satu sama lain di antara pekerja, akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira. Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan. Allah SWT menegaskan:

Maksudnya:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan…
(Al-Ma’idah : 2)

Selain dari bekerjasama dalam menjalankan tugas, hendaklah diwujudkan satu budaya bagi menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran, mengkaji masalah yang ada dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul. Perbincangan seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama.

Kesimpulan

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia sudah semestinya berusaha untuk terus meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai murni di dalam setiap bidang pekerjaan. Setiap individu yang bekerja, hendaklah sentiasa sedar dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan kebahagiaan umat manusia sejagat.

 

Advertisements

Posted on 30/05/2011, in Isu Semasa. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: